Sekarang kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadan. Ini
bererti umat Islam hanya beberapa hari saja lagi akan menyambut Hari Raya
Aidilfitri sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam khususnya bagi orang-orang
yang berpuasa, tetapi pada masa yang sama hati kita turut merasa sedih untuk
meninggalkan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini kerana kita
belum pasti lagi akan dapat berjumpa bulan Ramadan yang akan datang kecuali
jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah Subhanahu waTa'ala.
Sebagaimana kelazimannya apabila saja hampir tiba Hari Raya Aidilfitri maka
kebanyakan di antara kita akan sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya
seperti menyediakan keperluan rumah, menyediakan pakaian, menyediakan makanan
dan minuman dan bermacam-macam lagi persediaan, semuanya itu demi meraikan
Aidilfitri yang mulia. Tetapi apa yang perlu kita ingat walau macam manapun
kesibukan kita, janganlah kita lupa dan lalai kewajipan terhadap Allah
Subhanahu waTa'ala khususnya di akhir-akhir bulan Ramadan ini iaitu membayar
zakat fitrah kerana ia merupakan satu kewajipan dan pelengkap ibadat puasa
serta penampal atau penutup kecacatan-kecacatan yang berlaku ke atas ibadat
puasa yang kita lakukan.
Sebenarnya agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak mahu umatnya hidup
susah kerana itu kita dinasihatkan supaya hidup sentiasa bersederhana, tidak
berlebih-lebihan dan membazir, contohnya dalam menyambut Hari Raya Al-Mubarak
ini, sambutlah secara sederhana dan berhemah, jangan terlalu ikut hati sehingga
berbelanja lebih dari kemampuan dan menyusahkan diri, jangan jadikan sambutan
Hari Raya Aidifitri untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah sehingga berlaku
pembaziran dan menjadikan kita bersifat riyak. Biarlah kita menjadi umat yang
sederhana yang tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam semua hal.
Firman Allah
Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al Israa' ayat 26 - 27:
وَآتِ
ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلا تُبَذِّرْ
تَبْذِيرًا (26) إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ
الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا (27)
Maksudnya:
Dan
berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya
masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara
Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Perlulah
kita fahami bahawa tujuan utama Hari Raya Aidilfitri adalah untuk meraikan
kejayaan hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan ibadat puasa dengan penuh
keimanan dan ketakwaan, kerana itu sambutan yang dilakukan juga biarlah atas
landasan agama dan tetap menjadi ibadah. Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam
Surah al-Baqarah ayat 185:
يُرِيدُ
اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا
الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ
تَشْكُرُونَ
Maksudnya:
Allah menghendaki
kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan
juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Begitu juga
sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis:
وعن نافع : " أن ابن عمر كان
إذا غدا يوم الفطر ويوم الأضحى يجهر بالتكبير حتى يأتي المصلى ، ثم يكبر حتى يأتي
الإمام ، فيكبر بتكبيره " أخرجه الدارقطني بسند صحيح
Maksudnya:
Bahawa Ibnu Umar RA,
apabila beliau keluar pada hari raya sama fitri atau adha, beliau bertakbir
secara meninggikan suara sehingga sampai tempat sembahyang kemudian terus
takbir sehingga datang imam dan sama-sama bertakbir beliau.
Bagi
mencapai maksud tersebut agama Islam memberikan kita bimbingan dan panduan cara
sambutan yang betul untuk diikuti dan dipraktikkan, antaranya ialah :
Pada Malam
Hari Raya Pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan
takbir dan terus menghidupkannya dengan bacaan Al-Qur'an, berzikir, berdoa dan
sebagainya. Bukan meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang
membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara yang mengganggu ketenteraman
orang lain dan elakkan membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut
malam menyebabkan ada yang tidak sempat menunaikan Sembahyang Fardu Subuh dan
Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri kerana tidak terjaga dan keletihan.
Pada pagi
Hari Raya pula, kita disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri
dan bukannya mandi seperti hari-hari biasa, kita juga disunatkan memakai
bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku
serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari
untuk berhias-hias dan berelok-elok. Sebagaimana yang diriwayatkan dalam kitab
Muwatta':
فقد
أخرج مالك في موطئه عن نافع : " أن ابن عمر رضي الله عنهما كان يغتسل يوم
الفطر قبل أن يغدو إلى المصلى " وهذا إسناد صحيح
Maksudnya:
Daripada Nafi' katanya:Ibnu Umar RA mandi hari raya
fitrah sebelum bertolak ke tempat sembahyang raya.
Begitu juga
dalam riwayat yang lain:
عن
ابن عمر رضي الله عنهما أيضاً لبس أحسن الثياب للعيدين . قال ابن حجر : " روى
ابن أبي الدنيا والبيهقي بإسناد صحيح إلى ابن عمر أنه كان يلبس أحسن ثيابه في
العيدين ". ( فتح الباري 2/51 (
Maksudnya:
Daripada Ibnu Umar
RA juga bahawa beliau memakai pakaian yang terbaik untuk dua hari raya.
Sebelum ke
masjid untuk bersembahyang Hari Raya pula, kita disunatkan memakan buah kurma
dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wasallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya. Sebagaimana
yang dinyatakan dalam hadis:
عن أنس رضي الله عنه قال : " كان
النبي صلى الله عليه وسلم لا يغدوا يوم الفطر حتى يأكل تمرات ، ويأكلهن وتراً
" أخرجه البخاري .
Maksudnya:
Daripada Anas
bin Mlik katanya, adalah Rasulullah SAW itu tidak bertolak ke tempat sembahyang
hari raya sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma dan baginda makan
dengan bilangan ganjil.
Bagi
memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentunya amalan
ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak-saudara, jiran
tetangga dan sahabat handai semata-mata untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan
hubungan silaturahim.
Dalam
meraikan Hari Raya Aidilfitri ini, elakkanlah keraian ini dari dicemari dengan
perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara’ dan berdosa, antaranya
bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat,
menghidangkan benda-benda haram dan sebagainya. Perbuatan sedemikian tidak
mendatangkan berkat, bahkan akan mencemarkan erti sebenar kedatangan Hari Raya
Aidilfitri itu, di samping mendatangkan dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah
Subhanahu waTa'ala.
Akhirnya
marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri yang
akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam.
Mudah-mudahan
ibadat puasa Ramadan dan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini
diterima oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan mendapat rahmat dan keberkatan serta
keampunan dari Allah Subhanahu waTa'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Dari itu marilah
kita sama-sama merebut peluang untuk mendapatkan kebaikan yang dijanjikan oleh
Allah SWT. Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ali'Imran
ayat 133:
وَسَارِعُوا
إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ
أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya
Dan segeralah kamu
kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan
kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
No comments:
Post a Comment